PAS Selangor Yakin 13 ADUN Setia Bersama Parti

Shah Alam – PAS Selangor yakin 13 ADUNnya tidak akan meninggalkan parti itu, demikian tegas Ketua Penerangannya Mohd Khairuddin Othman.

 

Khairuddin berkata demikian dalam mengulas isu dua ADUN parti berkenaan iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) yang dijangka meninggalkan parti Islam itu untuk bersama-sama Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

“Kita sudah menyatakan taat setia kita akan tetap kepada PAS.

 

“Saya kira yang dua ini, umum tahu pendirian mereka jadi tumpuan kita mengukuhkan 13 ADUN yang ada. Kita ada mekanisme sendiri, refirm (kukuh) kembali, bertemu ADUN-ADUN kita,” katanya kepada wartawan di lobi SUK DUN Selangor.

 

Malah beliau turut diberi jaminan oleh kesemua 13 ADUN berkenaan bahawa mereka akan terus kekal bersama parti.

 

Dalam pada itu, Khairuddin turut mencabar Penyelaras GHB Selangor Izham Hashim untuk mendedahkan kesemua 3,000 ahli PAS yang dikatakan bakal menyertai gerakan berkenaan yang disifatkan beliau tidak benar.

 

“Kita tidak tahu siapa ini (yang masuk GHB). Dedahkan kepada kita barulah dia boleh mengatakan ahli kita kalau tidak. Siapa pun boleh buat kenyataan. 3,000 daripada 100,000 ahli PAS Selangor itu tidak jejaskan kita.

 

“Kalau betul apa yang dikatakan itu (sila kemukakan). Jadi di peringkat cawangan dan kawasan kita semak selalu dan tidak banyak satu dan dua orang yang tidak jejaskan pentadbiran kita (di Selangor),” katanya.

 

Ditanya samada tindakan ahli PAS yang meletak jawatan adalah isyarat untuk menyertai GHB, katanya sudah jelas bahawa GHB tidak boleh bergerak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyertai Pakatan Rakyat 2.0.

 

“Kalau GHB bukan parti kenapa bercerita tentang PR 2.0? Adakah ada NGO duduk dalam PR 2.0? Kena parti politik. Mereka mendakwa NGO dalam masa sama bercakap tentang PR 2.0 nak bertanding atas kerusi PAS, tidak mungkin NGO akan bertanding atas tiket PAS kena (tubuh) parti politik,” jelas beliau.

 

Izham, Jumaat lalu berkata seramai 3,000 individu sudah mendaftar sebagai ahli GHB Selangor.

 

Jumlah itu katanya akan bertambah sebelum pengumuman penubuhan parti politik baru itu pada 31 Ogos depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.