Himpunan BERSIH 4 Hanya Mahu Jatuhkan Kerajaan – Nur Jazlan

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan beliau tidak akan menyertai perhimpunan BERSIH 4 yang akan diadakan pada hujung Ogos ini.

 

Nur Jazlan memberitahu keengganan beliau menyertai himpunan ini kerana sudah mengetahui tujuan ia diadakan hanya untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

 

“Saya tidak akan mengambil bahagian kerana Bersih tidak mempunyai niat sebenar, mereka hanya mahu menjatuhkan perdana menteri, dan saya merupakan seorang anggota pentadbiran,” katanya.

 

Nur Jazlan mempersoalkan keengganan pihak penganjur berundur dan mengubah tarikh perhimpunan tersebut agar tidak mengganggu persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan.

 

“Sebab itu niat mereka dipersoalkan, pihak polis yang sedia ada amat bertolak ansur,” katanya lagi.

 

Beliau berkata, tidak ada polis yang lain di dunia ini bertolak ansur seperti polis Malaysia, dan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan.

 

“BERSIH harus menghormati polis. Pihak polis bertanggungjawab untuk keselamatan rakyat. Mereka diberi kuasa oleh kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

 

Jumaat lalu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Maria Chin Abdullah menjemput Nur Jazlan untuk menyertai perhimpunan tersebut berikutan kenyataan beliau Putrajaya tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan dirancang.

 

Nur Jazlan berkata, beliau yakin perhimpunan tersebut akan diteruskan tanpa insiden tidak diingini tetapi memberi amaran pihak penganjur perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika terdapat sebarang keganasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.