Gomez Mahu JDT Lakar Kemenangan Besar

Johor Bahru – Kemenangan besar tetap menjadi buruan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk berdepan Felda United dalam aksi terakhir Liga Super mereka, Sabtu ini.

 

Biarpun keputusan seri sudah mampu mengesahkan status mereka sebagai juara liga musim ini, ketua jurulatih JDT, Mario Gomez tetap mengarahkan anak buahnya mencari kemenangan selesa.

 

“Seri tidak cukup baik. Ia adalah mengenai kepuasan untuk memiliki kelebihan mata yang besar,” katanya.

 

JDT mendahului liga dengan 46 mata selepas menewaskan Perak 4-1 dalam aksi semalam, dua mata mengatasi Pahang yang mencicirkan mata penting apabila sekadar seri 2-2 dengan Felda United malam tadi.

 

Peluang Pahang agak rumit berikutan kelebihan jaringan yang dimiliki JDT, kecuali pendahulu liga itu tewas kepada Felda dan skuad Tok Gajah menundukkan jiran mereka, Terengganu.

 

Malah Gomez tidak mahu pemainnya memandang ringan kemampuan Felda United yang mampu memberi saingan sengit.

 

“Perlawanan tetap perlawanan dan Felda United adalah lawan yang sukar.

 

Mereka beraksi baik dalam pertemuan terakhir kami dengan mereka,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan dengan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini malam tadi.

 

Sementara itu, jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim menjangkakan Felda United berdepan cabaran getir dalam perlawanan itu nanti.

 

Katanya, ini disebabkan JDT mempunyai pemain yang rata-rata berpengalaman dan berkebolehan menjaringkan gol selain mampu melakukan serangan daripada setiap sudut.

 

“Ini akan memberikan kelebihan besar kepada JDT,” katanya yang ditemui dalam sidang media sama.

 

Mengulas kekalahan 1-4 kepada JDT, Abu Bakar berkata, ia berpunca daripada sikap pemainnya yang banyak melakukan kesilapan hingga menyebabkan barisan pertahanan longgar khususnya pada separuh masa kedua.

 

“Kami boleh memberi tentangan tetapi penyudah kami agak tumpul. Keadaan bertambah buruk apabila pertahanan kami longgar,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.