Aset RM30 Bilion, ADUN DAP Persoal Tindakan Azmin

Shah Alam – Aset bernilai RM30 bilion yang diuruskan syarikat pengurusan aset, Perbadanan Menteri Besar (MBI) belum dipindah milik kepada syarikat pengurusan risiko pelaburan, Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

 

“Menurut penyata yang dibentangkan di DUN (Dewan Undangan Negeri) semalam, aset kerajaan negeri bernilai RM20 hingga RM30 bilion belum lagi dipindahkan kepada DEIG.

 

“Keseluruhan penyata adalah berkaitan tadbir urus dan bukan mengenai pindah milik aset atau penyalahgunaan dana awam,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin dalam sidang media di lobi DUN Selangor, hari ini.

 

Beliau mengulas laporan RM30 bilion nilai aset yang sebelum ini diuruskan MBI, dipercayai diletakkan di bawah sebuah syarikat bernilai RM2, iaitu DEIG.

 

Adun Kinrara, Ng Sze Han yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, penyata yang dibentangkan semalam menjelaskan, “Pindah milik aset MBI dan anak-anak syarikatnya kepada DEIG tidak dilaksanakan, kerana akan menimbulkan kos percukaian dan duti setem yang tinggi.”

 

“Nilai anggaran aset-aset yang dimiliki MBI, jika dijual pada harga pasaran adalah RM20 hingga RM30 bilion.

 

“RM20 hingga 30 bilion bukan nilai sebenar aset. Itu hanya Growth Development Value (GDV). Nilai sebenar aset masih RM6.3 bilion,” katanya.

 

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika ditemui di lobi DUN Selangor berkata, mengikut undang-undang, sebuah syarikat boleh ditubuhkan oleh dua pemegang saham.

 

“Tetapi, dua bulan kemudian, dalam bulan Julai, DEIG telahpun dimiliki sepenuhnya MBI dan MBI adalah milik penuh kerajaan negeri.

 

“Jadi, tidak timbul DEIG ini milik dua individu…tidak benar, itu masa pendaftaran syarikat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.