Ahli Perniagaan Dipercayai Terbabit Kongsi Gelap Maut Ditembak

Johor Bahru – Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak dari belakang ketika mangsa sedang mengisi barangan ke keretanya di tempat letak kereta sebuah hipermarket di Taman Pelangi, semalam.

 

Mangsa yang berusia 35 tahun itu ditembak dari belakang dalam jarak dekat dan mengenai pada bahu kanan mangsa dalam kejadian kira-kira 9.20 malam.

 

Difahamkan, peluru tembakan itu juga terkena pada organ penting sebelum menembusi bahagian bawah lengan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

 

Mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan berdarah bersebelahan kereta jenis Audi milik mangsa.

 

Lima minit kemudian, orang awam bertindak menghubungi talian kecemasan untuk melaporkan kejadian kepada polis.

 

Menurut sumber, mangsa dipercayai bekas ahli kumpulan konhsi gelap yang mempunyai kaitan dengan geng 04.

 

“Berdasarkan kesan tembakan, ia dilakukan oleh penembak professional yang diarahkan oleh kumpulan terbabit berdasarkan modus operandi,” katanya.

 

Menurut sumber itu lagi, penyiasat masih lagi mencari motif pembunuhan dan tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan dendam.

 

“Pasukan penyiasat juga akan menjalankan siasatan ke atas beberapa indivfidu yang rapat dengan mangsa termasuklah rakan perniagaan, ahli keluarga dan rakannya.

 

“Siasatan juga akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan kejadian ini ada kaitan dengan beberapa kes tembakan yang berlaku sebelum ini di sekitar Johor sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Johor Baru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, siasatan awal mendapati mangsa baru selesai membeli-belah sebelum ditembak.

 

“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian belakang keretanya di mana but masih lagi terbuka dan troli berada di sebelah mayat mangsa,” katanya.

 

Sulaiman berkata, mangsa di bawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan dipercayai mangsa mati serta merta selepas terkena tembakan.

 

Penyiasat turut menemui kelongsong peluru yang diubahsuai untuk digunakan pada pistol semi-automatik 9mm.

 

Katanya, polis turut menemui beberapa petunjuk di lokasi kejadian dan telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas untuk menyiasat kes berkenaan.

 

“Polis telah mengklasifikasikan kes dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

 

Kes pembunuhan ini merupakan yang terbaru membabitkan tembakan ala kongsi gelap di Johor Selatan sejak beberapa bulan lalu.

 

Pada 28 Julai lalu, seorang penjual cakera padat nyaris maut apabila ditembak dua lelaki bermotosikal di Jalan Trus di pusat bandar.

 

Ini diikuti dengan insiden pada 16 Julai di Taman Tan Sri Yackob, Nusa jaya di mana pemandu lori berusia 41 tahun ditembak mati. Paga 19 Julai, ahli perniagaan berusia 47 tahun ditembak mati di Kulai Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.