107 Pesara Polis Terima Pingat Jasa Pahlawan Negara

KUALA LUMPUR – Sejumlah 107 pesara polis hari ini menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) atas bakti mereka kepada negara semasa era darurat dan insurgensi komunis.

 

Disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, kumpulan penerima pingat itu didahului Senior Asisten Komisioner 1 (B) Datuk Wong Pui Lam.

 

Seorang daripada penerimanya, Ali Salleh, 86, berkata, banyak pengalaman pahit dan manis dialaminya sepanjang berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan hingga ke hari ini ialah apabila berjaya menewaskan sekumpulan 25 pengganas komunis dalam satu operasi di Rawang pada 1951,” katanya kepada Bernama pada majlis yang berlangsung di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

 

Menceritakan pengalamannya, Ali, yang berkhidmat selama 32 tahun dalam pasukan polis berkata, beliau hanya bersama enam rakan sepasukan dalam pertempuran selama sejam setengah itu.

 

Ali bagaimanapun sedih kerana kehilangan beberapa rakan karib seperjuangan dalam beberapa dalam beberapa operasi lain menentang pengganas.

 

“Memang sedih apabila melihat rakan karib rebah di hadapan mata,” katanya sambil menegaskan beliau dan rakan-rakan lain memperkuatkan semangat untuk terus berbakti kepada negara.

 

Era darurat diisytiharkan dari 1948 hingga 1960 manakala zaman insurgensi komunis pula dari 1968 hingga 1989. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.