10 Individu Suspek Militan IS Ditahan

PETALING JAYA – Sepuluh individu termasuk enam anggota pasukan keselamatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

 

Suspek terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu ditahan Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman di enam lokasi berasingan dalam operasi serentak di Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti mempromosi militan IS serta mengumpul dana bagi membantu kumpulan berkenaan.

 

“Mereka juga disyaki mengatur pemergian rakyat Malaysia untuk menyertai IS serta merancang membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia.

 

“Mereka juga membantu membawa masuk suspek IS yang kembali dari Syria, merekrut rakyat Malaysia menyertai IS dan menyembunyikan maklumat berhubung aktiviti IS di negara ini,” katanya.

 

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – kesalahan yang berkaitan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).

 

“Mereka akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.