Selangor Bakal Hadapi Catuan Air Lagi

Shah Alam – Dalam satu pendedahan yang dibuat oleh sebuah pusat cucian kenderan di bandaraya Shah Alam mendakwa bahawa mereka telah menerima notis arahan yang ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Haji Rosli bin Bakar bagi menghadkan urusniaga mencuci kenderaan.

Surat pekeliling tersebut di alamatkan kepada pemegang lesen pengusaha pusat pencucian kenderaan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam dan bertarikh 11 Ogos lalu.

Kandungan surat tersebut menyebut bahawa setiap pengusaha berlesen hanya dibenar melakukan urusniaga harian selama enam jam sahaja bermula dari jam 12 tengahari hingga enam petang.

Manakala bagi pengusaha yang telah ditolak permohonan mendapatkan lesen atau pengusaha haram diarahkan untuk menutup urusniaga mereka serta merta atau tindakan tegas bakal diambil.

Alasan utama diberi adalah krisis bekalan air akan berlaku berpunca dari fenomena El Nino menyebabkan penyusutan paras takungan air di negeri Selangor dan dijangka berlarutan hingga bulan Oktober.

Dinyatakan juga bahawa jika paras takungan terus susut kemungkinan langkah penjimatan air akan dilaksanakan dengan mencatu air seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Krisis air merupakan krisis yang sudah dijangka dan diberi amaran oleh kerajaan persekutuan sebelum ini, dan hanya bulan lepas kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan menandatangani persetujuan bersama bagi jalan penyelesaian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.