Saya Sedar, Tiba Masa Saya Akan Pergi – Rashid

Kuala Lumpur  – “Saya akan berikan yang terbaik untuk membantu (Datuk) Lee Chong Wei membawa pulang kejuaraan dunia buat kali pertama walaupun hanya diberi kebenaran untuk pergi ke Copenhagen pada saat akhir.

“Bagaimanapun perkembangan ini sebenarnya tidak banyak memperbaiki keadaan dalam skuad kebangsaan. Saya sedar, situasi tidak sama lagi dan apabila tiba masanya (habis kontrak), saya akan pergi.”

Itu kata ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek beberapa jam sebelum menyertai skuad badminton negara berlepas ke Copenhagen malam semalam untuk membawa cabaran Kejohanan Dunia yang akan berlangsung dari 25-31 Ogos ini.

Malah, beberapa jam sebelum berlepas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 itu turut mengakui, beliau sempat ke pejabat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyerahkan surat tunjuk sebab kepada badan itu seperti yang diarahkan.

Ketika ditanya apa yang terkandung dalam surat tersebut, Rashid, 46, berkata, selain menjawab dakwaan BAM mengenai kenyataan terbuka yang dikeluarkan olehnya kepada media mengenai penarikan diri sebagai ketua pasukan ke Sukan Komanwel, beliau turut menggunakan kesempatan itu untuk menyuarakan rasa tidak puas hati selama ini.

Rashid bagaimanapun membatalkan hasrat untuk memberi salinan surat berkenaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong tetapi bersedia melakukannya jika diminta.

“Saya perlu serahkan surat itu hari ini (semalam) juga kerana saya akan berlepas ke Copenhagen malam ini, jadi saya sudah serah kepada pejabat BAM.

“Apa kandungannya? Saya menjawab semua yang diminta dan pada masa yang sama menyatakan apa yang saya tidak puas hati selama ini.

“Apakah keadaan sudah bertambah baik apabila saya dibenarkan pergi ke Kejohanan Dunia?. Saya gembira kerana dapat membantu pemain menghadapi kejohanan penting ini dan akan melakukan apa saja untuk mereka dan negara, tetapi saya tidak fikir keadaan sudah bertambah baik.

“Kalau kita tahu, tempat kerja kita sudah tidak menyeronokkan, apakah kita masih mahu bekerja?. Saya hanya mahu bekerja dengan hati yang tenang, memberi sumbangan dan tidak berminat dengan perkara lain.

“Jadi, saya akan bekerja di tempat saya seronok untuk bekerja dan dapat menyumbang segala kepakaran saya,” katanya lagi, yang bagaimanapun enggan memberitahu ke mana hala tujunya jika meninggalkan skuad kebangsaan.

Hubungan dingin wira Piala Thomas 1992 itu dan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bukan perkara rahsia.

Ketegangan antara mereka sebenarnya sudah tercetus sebelum Sukan Komanwel lagi. Pada September tahun lalu, Rashid pernah meletak jawatan kerana tidak gembira dengan layanan yang diberikan oleh pengurusan BAM, sebelum membatalkan keputusan itu selepas dipujuk oleh badan badminton tersebut.

Selain Chong Wei, cabaran perseorangan negara di Copenhagen akan turut dipikul Chong Wei Feng, namun harapan terbaik negara untuk menamatkan penantian merangkul kejuaraan dunia pertama dalam sejarah digalas pemenang pingat perak Sukan Olimpik dua kali, Chong Wei.

“Ramai yang anggap dia ada peluang yang amat baik kali ini kerana ketiadaan Lin Dan, tetapi pada saya, laluan tetap berliku kerana kita tidak tahu bagaimana persiapan China. Selepas kekalahan memalukan pada Piala Thomas, mereka agak ‘diam’ dan merancang sesuatu yang kita tidak tahu, ini cukup berbahaya,” ujar Rashid lagi.

Chong Wei tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir penuh kontroversi di Guangzhou tahun lalu, apabila dia menarik diri selepas mengalami masalah kesihatan gara-gara pendingin hawa di stadium ditutup ketika permainan berlangsung.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!