Keajaiban, Rezeki Dan Jodoh Adam Fiza

Bermula dengan acara pernikahan, perceraian dan yang terbaru, mereka kembali rujuk. Tiada apa yang perlu penulis bangkitkan mengenai keadaan kedua selebriti ini selain menampilkan emosi yang berbeza untuk setiap acara itu. Bermula dengan senyuman, tangisan dan kini kembali dengan rasa kesyukuran, rasa yang sama menumpang di sanubari penulis.

Kalau boleh penulis singkap kembali perjalanan rumah tangga Adam dan Fiza secara ringkas, perkenalan mereka bermula dalam tempoh yang yang sangat singkat. Hanya selepas sekali dua bertemu, mereka memutuskan untuk bernikah. Bagaimanapun belum cukup setahun, Fiza memilih untuk meminta cerai. Sepantas ikatan perkahwinan, begitulah jua pantasnya mereka memilih untuk berpisah, namun dalam tempoh edah mereka kembali bersama sebagai suami isteri.

Siapa sangka rezeki Ramadan tahun ini sungguh besar buat mereka. Berkongsi perasaan, Adam dan Fiza pasti buat masa ini tiada apa yang lebih penting selain memperbaiki diri sendiri.

Tidak salah rasanya kalau penulis mahu menggambarkan keadaan ini sebagai suatu keajaiban buat mereka.

Tempoh edah yang diberikan kepada mereka tidak sedikitpun diabaikan fungsinya. Kata Adam sepanjang tempoh itu mereka saling berjumpa dalam mencari titik keseimbangan dalam hubungan yang sebelum ini menemui jalan buntu. Tidak pernah sebelum ini terdetik untuk kembali bersama, semuanya berlaku pada pertengahan Ramadan lalu.

“Dalam tempoh edah itu saya masih menjaga kebajikan isteri saya, maksudnya saya masih mengunjunginya dalam memastikan dia berada dalam keadaan yang baik. Bukanlah setiap hari tetapi saya akan pastikan untuk mengunjungi dia, tanya khabar dan sebagainya.

“Tetapi dalam tempoh itu kami tidak pernah berbincang soal untuk rujuk kembali, cuma pertengahan Ramadan lalu rasa untuk kembali itu sangat kuat lalu kami mengambil keputusan kembali bersama,” katanya.

Kata Adam lagi dalam proses sebelum penyatuan ini berlangsung dia sering menonton banyak ceramah agama yang disampaikan tokoh terkenal mengenai fungsi sebenar tempoh edah. Melalui ilmu tersebut dia cuba aplikasikan dalam memastikan dia dan isterinya kini kembali bersama.

“Memang saya luangkan masa memahami apa sebenarnya tempoh edah itu, bila saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh, saya cuba praktik.

“Alhamdullilah, dalam tempoh itu usaha dan doa kami berdua dimakbulkan. Bila saya buat keputusan untuk kembali rujuk, isteri saya juga terbuka hati untuk bersama. Apa yang boleh saya katakan perasaan sayang kami berdua masih lagi utuh mungkin antara satu sebab proses penyatuan ini dipermudahkan,” katanya.

Kembali bergelar suami merupakan nikmat yang paling bahagia memandangkan sukar untuk melupakan wanita pertama yang bergelar isteri buat dirinya. Dan tiada apa yang lebih menyentuh hati Adam apabila melihat sendiri kesungguhan peminat mereka yang tidak sudah-sudah mendoakan agar mereka kembali bersama.

“Memang saya tersentuh melihat sebahagian peminat yang tidak sudah-sudah mendoakan kami, malah selepas tahu kami bersama semula. Bagi saya mereka juga mempunyai bahagian dalam usaha kami untuk kembali bersama.

“Jujurnya selepas berpisah dengan Fiza saya sibukkan diri dengan kerja, bagaimanapun perasaan itu masih kuat terhadap dia. Siapa yang boleh nafikan, ini merupakan perkahwinan pertama buat saya,” katanya.

Belajar dari kesilapan lalu balas Adam ketika ditanya sama ada dia menyesal dengan keputusan yang pernah dibuat dirinya, katanya ini takdir yang mendewasakan. Berjanji akan cuba menyelesaikan permasalahan yang pernah timbul di antara mereka, sebagai suami ada sesuatu yang lebih menggembirakan hatinya kini.

“Memang kami cuba nyahkan masalah yang pernah timbul dalam rumah tangga kami. Buat masa ini kami saling memahami apa yang perlu kami korbankan dalam memastikan saya dan dia selesa.

“Kalau ada yang tanya apa bezanya tanpa Fiza, memang berbeza. Kehilangan dia dalam tempoh yang singkat sahaja sudah menyebabkan saya kelam kabut. Tetapi bila dia kembali dalam rumah saya, semuanya teratur terutamanya makan dan pakai saya,” katanya tersenyum.

Pasangan ini juga tidak merancang untuk mengadakan sebarang majlis sambutan untuk penyatuan semula ini.

“Soal majlis itu belum fikir lagi, mungkin saya akan buat majlis doa selamat sahaja, tetapi itu pun secara kebetulan bila ada kumpulan ghasidah yang datang dari Kota Kinabalu. Jadi saya meminta mereka membacakan doa sahaja.

“Buat masa sekarang saya agak sibuk dengan tuntutan kerja, kalau mahu bercuti dengan Fiza mungkin hujung tahun ini. Tetapi saya fikir bila sudah bersama ini senang sebenarnya, bila-bila sahaja kami boleh pergi ke mana-mana bersama-sama, tiada masalah lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.