Jabatan Pendidikan Tunggu Laporan Penuh, Guru Pukul Murid Hingga Pengsan

Kuala Terengganu – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang menunggu laporan penuh siasatan insiden seorang pelajar Tingkatan Empat dari sebuah sekolah menengah di Seberang Marang dekat Marang yang mendakwa tengkuknya dipukul seorang guru lelaki Khamis lepas.

Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin berkata pihak sekolah telah membuat laporan kes berkaitan kepada jabatan itu Ahad lepas.

“Pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang telah berjumpa dan berbincang dengan guru berkenaan, pelajar bersama ibu bapa untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

“Insya-Allah, pihak kami akan panggil balik ibu bapa serta pelajar berkenaan bersama pihak polis untuk berbincang lebih lanjut mengenai isu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menurutnya, pihak JPNT akan menunggu laporan penuh berkenaan kes tersebut sebelum mengambil apa-apa tindakan.”Kita tunggu laporan penuh dan keputusan daripada pihak polis mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Khamis lepas, pelajar tingkatan empat berkenaan mendakwa dipukul gurunya di bahagian tengkuk hingga pengsan dan dihantar oleh pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Marang sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.