ADUN Pengkalan Kubor Meninggal Dunia

Kuala Lumpur – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar telah pulang ke rahmatullah 5.45 pagi tadi di Guangzhou, China.

Menurut sumber SuaraTV, allahyarham Noor Zahidi, 57  sedang mendapatkan rawatan kanser di negara itu.

Usaha sedang dijalankan untuk membawa jenazah beliau pulang ke negara ini untuk dikebumikan. Jenazah dijangka tiba ke tanah air paling lewat esok pagi.

Keadaan kesihatan Noor Zahidi sebelum ini dikatakan agak serius dan beliau sering berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kob pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang lalu mengumumkan Noor Zahidi tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata Noor Zahidi, 57, meninggal dunia pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia.

Allahyarham yang disahkan menghidap kanser hati pada Mei lepas, mendapatkan rawatan di Guangzhou kira-kira dua minggu lalu, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rosdi berkata antara yang turut berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir ialah isterinya Datin Siti Mona Abdul Kadir.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan 12 orang anak.

Beliau berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar sedang berusaha untuk mempercepatkan proses membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat.

Di dalam pilihanraya umum ke-13, allahyarham Noor Zahidi Noor Zahidi yang juga merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Kelantan merangkap Ketua UMNO Bahagian Tumpat berjaya mengekalkan kemenangan kerusi Barisan Nasional selama tiga penggal berturut-turut dengan mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas dengan majoriti 1,736 undi.

Beliau memperolehi 10,174 undi berbanding Saharum yang hanya mendapat 8,438 undi.

Pada Julai 2013, Noor Zahid telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bagi menggantikan Datin Paduka Nurmala Abdul Rahim.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor terletak dalam kawasan Parlimen Tumpat.

Berikutan itu, pilihan raya kecil bagi DUN tersebut akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ia merupakan pilihan raya kecil yang ketujuh selepas pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.