PETALING JAYA – Rukun Negara merupakan ideologi negara melebihi 50 tahun namun, ia hanya dihafal oleh masyarakat dan tidak diamalkan dalam kehidupan seharian.
Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ideologi negara ini tidak boleh hanya berada di tahap ingat dan hafal sahaja tetapi harus bergerak ke tahap yang lebih tinggi iaitu memahami dan mengamalkannya.
“Ia masih relevan untuk dijadikan pedoman walaupun sudah berusia tetapi kefahaman tersebut harus diajar dari usia yang muda lagi.
“Kita tidak mempunyai sukatan pelajaran tertentu yang memfokuskan mengenai Rukun Negara, ini menjadikan rakyat tidak menghayatinya.
“Sudah sampai waktunya untuk kita lihat perubahan, kerajaan harus memastikan Rukun Negara diterapkan dalam sukatan pelajaran dari peringkat tadika lagi.
“Sebagai contoh, di peringkat tadika pelajar hanya menghafal, di peringkat sekolah pelajar harus memahaminya, seterusnya di peringkat universiti mereka harus menganalisisnya.
“Di Indonesia, seperti Rukun Negara mereka juga mempunyai lima Prinsip Nasionalisme, perbezaanya dengan negara kita adalah mereka bukan sahaja mengetahuinya tetapi turut mengamalkannya.
“Pelajar luar negara yang belajar di Indonesia turut diwajibkan untuk mengetahuinya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya
Semalam, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2023, Datuk Dr.Abdul Monir Yaacob berkata, isu perpaduan akan sentiasa hidup selagi ada parti-parti politik berasaskan kaum di negara ini.
Walaupun Malaysia mempunyai Rukun Negara, namun prinsipnya yang sepa tutnya menjadi kunci keharmonian rakyat berbilang kaum masih tidak dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, tidak dapat dinafikan bahawa antara punca perpaduan negara tidak utuh adalah disebabkan parti politik yang berasaskan kaum.
“Perkara ini tidak baik kerana mereka hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing dan bukan memperjuangkan keseluruhan rakyat Malaysia.
“Rakyat boleh beralih kepada parti politik yang tidak bersifat perkauman namun, kesudahannya sama sahaja.
“Sebagai contoh, DAP ditubuhkan pada awalnya untuk pelbagai kaum tetapi kini dilihat seperti didominasi oleh kaum Cina.
“Sama seperti Parti Gerakan Malaysia (GERAKAN), mereka ditubuhkan untuk pelbagai kaum tetapi kini dilihat sebagai parti bukan melayu kerana didominasi oleh kaum Cina dan India.
“Beberapa parti telah melakukan percubaan untuk menyatukan semua kaum, tetapi pada akhirnya ia menjadi parti satu etnik juga,” ujarnya. – Utusan