PRK Kuala Terengganu: Pas pertimbang Annuar Musa sebagai calon

- Advertisement -

PETALING JAYA: PAS akan mempertimbangkan saranan untuk mencalonkan Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, 12 Ogos depan.

Lapor FMT, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata ketika ini PN belum memutuskan berhubung calon di kerusi berkenaan kerana perlu melalui pelbagai proses termasuk memperhalusi status penyandangnya Ahmad Amzad Hashim.

Beliau yang juga ahli Dewan Tertinggi MN yakin PAS dan PN akan mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak termasuk bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang menyarankan Annuar dicalonkan mengambil kira pengalaman bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

“Keputusan terakhir yang dibuat nanti setelah mempertimbangkan pelbagai pandangan tersebut,” katanya.

Pada 11 Julai lalu, Zuraida, bekas ahli Parlimen Ampang yang kini menyokong PN meminta gabungan itu memilih calon PRN dan PRK berdasarkan kelayakan bukan kedudukan atau hierarki dalam parti.

Beliau berkata semua pihak perlu mengenepikan perbezaan peribadi dan bersatu memilih calon boleh menang serta menjadi wakil rakyat yang baik.

Menurut Zuraida, Annuar yang baru menyertai PAS bulan lalu boleh menang mudah jika dipilih sebagai calon PN di Parlimen Kuala Terengganu.

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 8 Julai lepas, PAS memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pada PRU15, Ahmad menang dengan majoriti 40,907 undi.

Susulan keputusan PAS tidak merayu keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN di negeri itu, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, dan Kelantan.

author avatar
Ahmad Fansuri Mohd Nasir
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat