Ketiadaan Azmin, Zuraida Di Permukiman PKR Cetus Tanda Tanya

PORT DICKSON – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak menghadiri Majlis Perasmian Temu Rapat Pimpinan PKR Pusat di sebuah hotel di sini malam tadi.

Ketiadaan beliau yang sedang berdepan ‘pertembungan’ dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan tanda tanya dalam kalangan petugas media yang membuat liputan.

Turut tidak kelihatan dua Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua yang dianggap rapat dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut.

Program pemukiman selama tiga hari bermula semalam dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir Anwar, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan barisan kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.

Perbalahan terbuka antara Anwar dan Mohamed Azmin kedua-dua tercetus selepas Anwar kelmarin membuat kenyataan bahawa Mohamed Azmin perlu meletakkan jawatan, sekiranya video seks sejenis yang dikaitkan dengan individu mirip dirinya disahkan benar.

Susulan itu, Mohamed Azmin mengeluarkan kenyataan pedas terhadap Anwar dengan memintanya melihat diri di cermin dan bermuhasabah diri.

Mohamed Azmin dikaitkan dengan beberapa video yang menunjukkan seorang lelaki melakukan hubungan intim dengan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam sidang akhbar semalam berkata, hasil analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video tersebut tulen, namun identiti pelakunya tidak dapat disahkan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.