Rafizi Calon Sesuai Jadi Timbalan Presiden PKR, Kata Asrul Nizan

KANGAR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dilihat sebagai calon sesuai untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu, Ogos ini.

Naib Ketua PKR Cabang Kangar, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, Rafizi juga adalah individu paling tepat untuk bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengemudi PKR selepas ini.

Tanpa menidakkan kemampuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai penyandang Timbalan Presiden PKR, beliau berkata, pertandingan bagi merebut jawatan tersebut dan mana-mana jawatan lain adalah selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan parti itu selama ini.

“Secara peribadi, saya melihat Rafizi adalah calon sesuai bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden PKR. Rafizi adalah salah seorang arkitek yang mencetuskan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu sehingga berjaya membentuk kerajaan.

“Malah kajian invoke yang dilakukan Rafizi sebelum pilihan raya lalu juga adalah tepat yang akhirnya membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan.

“Malah, Rafizi juga adalah antara pemimpin awal yang terus setia bersama parti selain tidak pernah berhenti berjuang mendedahkan pelbagai isu melibatkan kerajaan terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa bekas Ahli Parlimen Pandan itu mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR daripada Mohamed Azmin dalam pemilihan parti itu, akan datang.

Bagaimanapun Rafizi dikatakan masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu. – UTUSAN

One thought on “Rafizi Calon Sesuai Jadi Timbalan Presiden PKR, Kata Asrul Nizan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.