Lokman Noor Adam Calon BN Bagi PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Pengarah Komunikasi Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Pemilihan Lokman, 45, itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam majlis memperkenalkan calon di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di Seksyen 31, di sini kira-kira pukul 4 petang tadi.

Pemilihan Lokman bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di kerusi DUN Sungai Kandis selepas PKR semalam menamakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama parti itu, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, 48, untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Hadir sama dalam majlis pengumuman berkenaan ialah Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad serta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Mohamad dalam sidang akhbar selepas pengumuman berkenaan memaklumkan pemilihan Lokman itu adalah berasaskan kepada pengalaman beliau sebagai aktivis masyarakat selain memimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak memperjuangkan isu-isu rakyat.

“Kita jangkakan pemilihan Lokman ini dapat membuka mata para pengundi DUN Sungai Kandis. Kita akan tonjolkan isu-isu yang perlu dibawa terutamanya melibatkan pelaksanaan janji-janji Pakaran Harapan.

“PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu merupakan piljhan raya yang tidak rasional. Jadi PRK DUN Sungai Kandis ini kita boleh ukur sejauh mana sokongan sebenar rakyat terhadap BN,” ujarnya. – UTUSAN

One thought on “Lokman Noor Adam Calon BN Bagi PRK Sungai Kandis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.