Keputusan Parlimen Israel Lulus Undang-Undang Tanah Yahudi Dikecam

KUALA LUMPUR – Umno mengutuk sekerasnya keputusan Parlimen Israel meluluskan Rang Undang-undang Tanah Yahudi, semalam, sekaligus melucutkan hak rakyat Palestin terhadap wilayah diduduki mereka sejak ribuan tahun dahulu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar ala ‘apatheid’ itu juga sebenarnya menghapuskan peruntukan perlembagaan Palestin yang mengiktiraf Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi negara Islam tersebut.

Dalam satu kenyataan dikeluarkannya, Ahmad Zahid berkata keputusan itu secara tidak langsung mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baru Israel dan memadamkan episod bantahan umat Islam dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selama ini.

“Tindakan keterlaluan rejim Yahudi ini sama sekali bertentangan dengan Perisytiharan Balfour 1926 yang cuma menyebut Yahudi berkongsi bumi Palestin sebagai ‘tempat tinggal bersama’.

“Biarpun ahli Knesset berbangsa Arab menentang akta itu, mereka terpaksa akur dengan kuasa majoriti Ahli Parlimen Yahudi yang semuanya mengundi menyokong rang undang-undang itu,” memetik kenyataan tersebut.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, keputusan itu dikhuatiri mencetuskan bantahan dan keganasan lebih hebat di Palestin dan Zionis pastinya akan menggunakan kekecohan itu sebagai ‘lesen’ untuk membunuh rakyat yang menentang mereka.

“Dengan itu, Umno menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan agar mengutuk perbuatan tidak bertamadun ini, serta mendesak Kerajaan Amerika, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam, PBB dan badan-badan dunia yang berteraskan keamanan sejagat mendesak Tel Aviv mengkaji semula rang undang-undang itu dan menghormati pandangan masyarakat antarabangsa.

“Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga bersama-sama mendesak Wisma Putra agar meneruskan dasar Kerajaan Malaysia yang menentang sebarang bentuk tindakan yang menafikan hak asasi rakyat Palestin untuk terus menuntut hak sah sebagai negara berdaulat, menegakkan pemerintahan sendiri serta menolak sebarang tindakan yang mencabul hak asasi manusia,” ujarnya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.