Video : Ikon Felda Nasihat Warga Felda Kurangkan Kebergantungan Pada Kerajaan

PUTRAJAYA –  Bersempena sambutan program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia Hari Pene­roka Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung selama 3 hari, dari 21 hingga 23 Julai ini, SuaraTV berkesempatan menemuramah ikon Felda, Datuk Wira Othman Aziz.

Sebagai satu-satunya ikon Felda yang kini telah menjadi pemimpin yang disegani, beliau sudi dan tidak lokek untuk bercerita mengenai pengalaman hidupnya sebagai generasi kedua Felda di Lubuk Merbau, Kedah.

Othman yang lahir sebagai anak Felda dari generasi pertama, kini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan I.

Beliau yang menggalas tugasan anggota Parlimen bagi kerusi Jerlun, Kedah ini juga mula berpindah ke Felda Lubuk Merbau pada tahun 1970.

Menurutnya, pada masa itu kekangan dan kesusahan sangat dirasai seluruh keluarganya kerana pada masa itu kerajaan memberikan duit bulanan yang tidak cukup untuk menampung keluarganya.

Sehubungan itu, dengan mencari inisiatif bagi meningkatkan pendapatan keluarga, Othman yang berumur 12 tahun bekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan sampingan.

“Dah kita tahu ibu bapa susah, saya pun buatlah kerja sampingan. (Ada satu masa) Saya ambil upah mengisi beg poli (poly bag). Pada masa itu saya mengisi 1,500 poly bag. Saya menjangkakan, saya mendapat RM75 ringgit. Namun pada cukup bulan itu (hari pembayaran) saya tunggu sampai pukul 6 petang namun (tiada) saya menangis. Biarpun bertengkar dengan pegawai, akhir sekali saya tidak dibayar. (Pada saat itu saya berazam) satu hari nanti saya akan datang dan menguruskan anda semua (itu janji saya),”katanya.

Othman kemudiannya meneruskan kehidupannya dan terus berusaha sehingga berjaya melanjutkan pelajarannya ke menara gading.

Selepas selesai pengajiannya di sana, dia kemudiannya ditawarkan bekerja di Sime Darby Plantation di sabah. Ketika itulah dia mula berjinak-jinak di arena politik seterusnya bertanding di Jerlun dan memegang jawatan ahli parlimen di situ sejak tahun 2013.

Menyoroti kejayaannya, menurutnya di Felda inilah tempat mengajar warganya supaya meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Katanya dia selalu memperingati diri bahawa ramai orang yang tahu susah dan ada juga yang tidak tahu susah.

“Pada saya biarpun kerajaan memberikan rumah dan ladang namun kita perlu terus berusaha memperbaiki kehidupan,”katanya.

Menurutnya lagi, tanpa Felda, beliau tidak mampu mencapai tahap ini.

“Tanpa Felda saya tak duduk di sini. Saya amat terhutang budi pada Felda.

“Felda ajar saya ‘survival instict’. Maksudnya bagaimana kita boleh menguruskan hidup dengan kekangan yang kita hadapi,”katanya.

Beliau berkata, jika mahu dikongsi kesusahan yang dilalui tidak dapat digambarkan sekalipun jika ditanya kepada anaknya, tentang keperihan hidup yang dilaluinya.

Tambahnya lagi, Felda meletakkan landasan yang cukup baik dan telah berjaya membuktikan sosial mobiliti.

“Cuma kepada yang tidak berjaya itu bukan kerana Felda tetapi kerana diri mereka sendiri,”katanya.

Dalam pada itu, ikon Felda ini turut menasihatkan agar warga Felda kurangkan sikap kebergantungan yang tinggi terhadap kerajaan.

“Masalah yang sama sahaja di mana-mana. Kita ini sering bergantung kepada kerajaan. Jadi kita jangan terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata,” katanya.

Tambahnya, warga Felda jangan hanya ingat hidup ini untuk mencari keseronokan sahaja tetapi mestilah (berjuang) buat sesuatu dengan kesungguhan. Buat yang terbaik dari kudrat yang ada.

“Kerajaan bantu macam-macam sekarang ini bagi sekolah, buku teks, dan inisiatif untuk berjaya itu seharusnya datang daripada diri sendiri dan keluarga,”katanya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.