Sarawak Temu Konsulat Indonesia Tangani Penyakit Anjing Gila

KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak akan berunding dengan Konsulat Indonesia di sini tentang bagaimana untuk menangani secara bersama penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pasukan itu akan diketuai oleh timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah yang juga pengerusi  jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Menteri Kerajaan Tempatan negeri Datuk Prof Dr Sim Hui Kian.

“Kerjasama melalui perkongsian maklumat itu bertujuan untuk memaklumkan antara satu sama lain dan mewujudkan zon penampan bagi mengelakkan penularan penyakit itu,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau program suntikan vaksin ke atas anjing di Dewan Batu 10, Kota Padawan, dekat sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan rekod, kebanyakan kes rabies dikesan di sepanjang kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia.

Abang Johari, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu mengenai situasi wabak itu di negara jiran.

Menurut beliau, kebanyakan kawasan yang wabak itu dilaporkan menular ialah di sepanjang sempadan seperti Lachau dan Tebedu dan sebab itulah suntikan Vaksin ke atas anjing dan kucing tertumpu di kawasan-kawasan tersebut.

Beliau berkata kerajaan persekutuan telah menyumbang vaksin bernilai RM2.4 juta sementara kerajaan negeri pula telah menyumbang RM500,000 bagi membendung penularan rabies di Sarawak.

Sementara itu, Uggah mengesahkan bahawa wabak itu telahpun menular di Siburan dan zon penampan telah diwujudkan di Batu 10 dan Batu 17 untuk mengawal penularan wabak penyakit tersebut.

Uggah juga mengesahkan mengenai satu kes rabies dilaporkan di Siburan.

Mangsa pertama dan kedua, dua beradik iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan adik lelakinya berusia empat tahun dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian, meninggal dunia pada 4 Julai.

Mangsa ketiga ialah kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebor, Serian, yang meninggal seminggu kemudian. sementara mangsa keempat, Florancesia Ak. Edward dari Kampung Ampungan, Serian meninggal pada Selasa, empat hari selepas wabak itu meragut nyawa mangsa ketiga. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.