Pembeli Rumah PPR Tekek Makmur Dapat Subsidi 92 Peratus – PM

ROMPIN ― Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini merasmikan Projek Perumahan Rakyat (PPR), Tekek Makmur, Pulau Tioman melibatkan pembinaan 116 buah rumah di kawasan seluas 3.3 hektar dengan kos RM46.7 juta.

Istimewanya projek perumahan ini, pembeli yang terlibat menerima subsidi 92 peratus dan hanya perlu membayar RM35,000 untuk setiap unit rumah berbanding kos sebenar RM403,000.

Najib berkata projek PPR berkenaan merupakan yang termahal dalam sejarah pembinaan rumah PPR di negara ini, namun kerajaan tetap melaksanakannya bagi menyediakan perumahan yang selesa untuk rakyat di pulau itu selaras dengan agenda sosial kerajaan.

“Kita sebelum ini mungkin sukar nak bayangkan projek PPR ini sampai ke Pulau Tioman kerana kalau lihat dari segi kos untuk membina setiap unit rumah, ia merupakan yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

“Kerajaan belanjakan RM46.7 juta untuk bina 116 unit rumah di sini, tetapi paling istimewa kita tawarkan rumah ini dengan harga jualan RM35,000 sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan projek PPR Tekek Makmur, di Pulau Tioman di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan Tan Sri Noh Omar, timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique dan anggota Dewan Undangan Negeri Tioman Datuk Mohd Johari Hussain.

Menurut Najib, ini bermakna pembeli yang terlibat hanya perlu membayar lapan peratus sahaja daripada keseluruhan kos pembinaan, manakala selebihnya merupakan pemberian subsidi daripada kerajaan khusus untuk mereka yang berada dalam golongan B40 .

“Inilah hadiah istimewa untuk penduduk Tioman yang tidak mungkin boleh diberikan oleh mana-mana kerajaan yang ada di dalam dunia ini,” katanya.

Menurutnya sejak projek itu disiapkan dua tahun lepas, seramai 53 daripada 116 pembeli telahpun menduduki rumah tersebut, manakala selebihnya masih dalam proses untuk pinjaman.

Najib yang juga anggota parlimen Pekan berkata menyedari kesukaran yang dihadapi baki 63 pembeli berkenaan untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan prihatin dengan nasib mereka, kerajaan bersedia untuk menawarkan pembelian rumah itu menerusi sistem sewa beli.

“Untuk 63 lagi pembeli yang belum menerima kunci, kita setuju untuk luluskan konsep sewa beli dan boleh sewa harga sebanyak RM124 sebulan sahaja untuk kontrak selama setahun.

“Selepas itu bolehlah mereka beli rumah ini dan kita akan pamerkan nama mereka yang terlibat untuk pastikan hanya penduduk Pulau Tioman dan mereka yang benar-benar layak sahaja akan menerimanya,” katanya.

Projek itu, katanya, adalah satu lagi bukti keprihatinan kerajaan untuk menaik taraf kehidupan masyarakat luar bandar termasuk mereka yang berada di pulau termasuk Pulau Tioman. ― Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.