MCA: Kenapa Kos LRT P Pinang Lebih Mahal Dari LRT3?

MCA hari ini mempersoalkan jawapan exco kerajaan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyatakan kos Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas akan menelan belanja sebanyak RM8.4 bilion.

Pengerusi Pemuda MCA Pulau Pinang berkata, pada Mei tahun lalu, projek LRT sepanjang 30km itu dilapor bernilai RM7 bilion tetapi kini meningkat sebanyak RM1.4 bilion dalam tempoh setahun.

“Memandangkan projek LRT Pulau Pinang meningkat sepenuhnya, dengan harga RM280 juta setiap kilometer, nampaknya kos ini lebih mahal setiap km berbanding dengan projek LRT3 di Lembah Klang.

“LRT3 adalah 37km panjang tetapi juga termasuk seksyen terowong bawah tanah sepanjang 2km dan stesen bawah tanah. Walaupun demikian, kos LRT3 ialah RM9 bilion atau kira-kira RM243 juta setiap km,” kata Datuk Michael Lee Beng Seng.

Katanya, lebih membimbangkan pada 19 Jun lalu Chow berkata kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan sejumlah RM17 bilion daripada projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

“Chow menjelaskan bahawa RM17 bilion ini adalah untuk projek LRT dan projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) – yang mencadangkan kos projek PIL1 ialah RM8.6 bilion.

“Oleh kerana projek jalan PIL1 hanya berukuran 19.5km panjangnya, ini bermakna kos setiap km adalah RM441 juta yang sangat tinggi bagi setiap kilometer,” katanya.

Chow hari ini menafikan pembinaan LRT Bayan Lepas akan menelan belanja RM24 bilion ketika menjawab soalan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Norlela Ariffin daripada PKR.

Norlela membandingkan kos pembinaan untuk jajaran LRT itu yang didakwanya bernilai RM24 bilion berbanding kos RM21 bilion untuk pembinaan kereta api MRT Sungai Buloh-Kajang sejauh 51km.

 

Chow bagaimanapun berkata kos LRT Bayan Lepas daripada Komtar ke South Reclamation’s Island B Pulau Pinang dianggarkan bernilai RM8.4 bilion.

Perkara itu, katanya, termaktub dalam dokumen permohonan cadangan (RFP) yang diserahkan oleh syarikat pembinaan SRS Consortium kepada kerajaan Pulau Pinang.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.