‘Kami Bersyukur Dapat Rumah Baharu’

ROMPIN – “Raya berganda bagi kami sekeluarga kerana dapat menyambut Aidilfitri di rumah baharu, ” kata Zalifah Berahim.

Anak jati Kampung Tekek berumur 31 tahun berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini paling meriah baginya bersama suami, Kamizan Mat Daim, 34 dan seorang anak perempuan berumur 14 tahun.

Beliau yang bekerja sendiri berkata, rumah tiga bilik dan dua bilik air dengan laman di tepi rumah memberi keselesaan kepada penghuninya.

“Memang kami bersyukur dapat miliki rumah yang cantik sebegini dan akan menghias dan menjaganya dengan baik,” katanya.

Beliau yang baru berpindah ke rumah baharu sejak dua bulan lalu, ditemui pada majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tekek Makmur, di Kampung Tekek, Pulau Tioman, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Suri rumah, Nazariah Hamzah, 32, teruja dapat memiliki rumah sendiri selepas menyewa rumah RM400 sebulan di Kampung Tekek, sebelum ini.

“Saya mula berpindah sejak Februari lalu dan memang saya bersama suami, Wan Noraziz Wan Endut dan tiga anak turut seronok ada bilik sendiri.

“Malah, turut disediakan kipas siling di setiap bilik…. memang kami beruntung dapat rumah ini kerana lokasinya juga strategik dekat dengan masjid, sekolah dan kedai runcit,” katanya.

Projek PPR Tekek menyediakan 116 unit rumah kluster setingkat dengan tiga bilik di kawasan seluas 3.288 hektar.

Projek bernilai RM46.75 juta itu mula dibina pada Julai 2012 dan siap sepenuhnya Ogos 2015 dan turut menyediakan padang permainan dan kedai. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.