‘My Name Is Hasmah’ dedah banyak rahsia

‎KUALA LUMPUR – Bekas isteri Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 90, mendedahkan rahsia hidupnya di dalam buku autobiografinya, ‘My Name Is Hasmah’.

 

Bercakap ketika pelancaran bukunya itu di Glasshouse, Seputeh hari ini, ‎Siti Hasmah berkata, buku itu menceritakan kehidupan terselindungnya yang mungkin tidak diketahui umum.

 

‎”Banyak rahsia saya terkandung dalam buku ini, kisah ketika kecil serta kehidupan saya sepanjang sebagai isteri bekas perdana menteri,” katanya.

 

Sementara itu ketika menggulas lanjut mengenai bahagian kegemaran beliau dalam buku itu, Siti Hasmah berkata, beliau menyukai setiap bab yang ditulisnya.

 

“Buku ini buatkan saya gila (berseloroh), kerana ia idea pada minit-minit akhir, tetapi Alhamdulillah ianya berjaya juga diterbitkan.

 

“Bagi saya setiap yang saya tulis di dalam bab-bab dalam buku ini membuatkan saya rasa gembira dan menyukai,” katanya.

 

Sementara itu, ketika ditanya oleh pengacara majlis, Yasmin Yusof adakah beliau mendapat keizinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerbitkan buku itu, Siti Hasmah berkata, sewaktu menulis buku Doctor in the house, Mahathir sendiri tidak meminta kebenaran daripadanya.

 

Pada majlis pelancaran bukunya itu, Siti Hasmah turut diraikan dengan sebiji kek sempena sambutan ulang tahun ke-90, majlis itu dihadiri oleh seluruh keluarganya, rakan terdekat dan media.

 

Buku itu setebal 248 muka surat memaparkan kisah suka duka perjalanan hidupnya, karier dan pengalamannya dalam perubatan serta pengembaraannya ke seluruh dunia sebagai isteri Mahathir.

 

My Name Is Hasmah dikarang oleh kumpulan editor Salt Media Group dan diterbitkan oleh Alaf 21, Kumpulan Karang‎kraf.

 

Ia dijual pada harga RM80 senaskhah di kedai buku. Anda juga boleh mendapatkan buku ini di mall.karangkraf.com.

 

Versi Bahasa Melayu, Nama Saya Hasmah akan turut diterbitkan ‎dalam masa terdekat‎. -Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.