India Mahu Malaysia Ketuai Dunia Perangi Keganasan – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata India mahu Malaysia berada di barisan hadapan dalam menangani ancaman keganasan dan radikal kumpulan militan Daesh di peringkat global.

 

Beliau berkata ini dinyatakan dalam pertemuan tertutup antara beliau dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di residensi rasmi Modi di sini pada Selasa.

 

“India mengiktiraf kejayaan Malaysia menerusi konsep kesederhanaan yang diinisiatifkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memerangi keganasan seperti yang diamalkan di Malaysia.

 

“Malah India mahu Malaysia mengemukan polisi dan kaedah ini bukan sahaja di wilayah Asean tetapi juga semasa Sidang Kemuncak Asean dengan rakan dialog Asean dan di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Bercakap kepada media Malaysia selepas pertemuan 45 minit dengan Modi, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata India turut memuji langkah proaktif dan serius yang diambil Malaysia dalam menangani ancaman keganasan.

 

Ahmad Zahid berkata India juga mahu mempelajari undang-undang antikeganasan yang diamalkan di Malaysia termasuk bagaimana menghukum pengganas atau militan dengan menggunakan mekanisme yang betul dan sesuai.

 

Oleh itu, beliau berkata pegawai agensi penguat kuasa India yang terlibat dalam mengekang keganasan dan radikal akan dihantar ke Malaysia bagi latihan selama tiga bulan.

 

“Dalam hubungan ini, India telah menerima jemputan kita. Persoalan bila ini akan bermula, terpulang kepada mereka kerana polis kita dan Jabatan Penjara bersedia untuk membantu dan menerima mereka,” kata beliau.

 

Sementara itu beliau berkata Modi turut menyentuh mengenai keperluan untuk menerima amalan sistem pendidikan sekolah agama dan madrasah di Malaysia kerana India mempunyai kira-kira 200 juta orang Islam ketika ini.

 

“Saya diberitahu India menghadapi masalah dalam isu pendidikan dan mahu belajar daripada Malaysia mengenai pengurusan pendidikan dan ajaran Islam tanpa berkompromi dan mengabaikan aspek akademik,” katanya.

 

Dalam hubungan ini, India telah mencadangkan agar cendiakawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka diberi peluang menyertai persidangan ulamak dan umarak sama ada sebagai peserta atau penceramah, kata Ahmad Zahid.

 

Ditanya mengenai hasil lawatannya ke India, beliau berkata ia merupakan pengalaman amat baik bagi Malaysia dalam mencipta rangkaian hubungan diplomatik baharu demi faedah kedua-dua negara dalam jangka panjang.

 

“Apa yang penting bagaimana kebersamaan melepasi skop diplomatik boleh diperkukuh dan dipermudah untuk menangani dan menyelesai sebarang isu secara bersama (dengan India) sekiranya ia mungkin wujud di masa depan,” katanya.

 

Timbalan perdana menteri yang tiba di sini pada Isnin akan berlepas pula ke Sri Lanka pada Rabu malam untuk lawatan kerja dua hari.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.