SKMM Sekat Laman Sesawang The Sarawak Report

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam menyekat laman sesawang The Sarawak Report kerana laporan kandungan portal itu yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara.

 

Menurut SKMM, tindakan itu dilakukan setelah menerima maklumat dan aduan daripada orang ramai apabila laman sesawang www.sarawakreport.org memaparkan kan­dungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.

 

Sekatan terhadap laman sesawang The Sarawak Report itu, kata SKMM, dibuat mengikut peruntukan sedia ada dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

SKMM berkata, tempoh sekatan terhadap laman sesawang berkenaan berkuat kuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas.

 

“Sehubungan itu, SKMM ingin memperingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman sosial, terutamanya kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, lantaran ia mungkin kandungan palsu.

 

“Kandungan sedemikian di­khua­tiri boleh mewujudkan keadaan tidak tenteram dan seterusnya mengganggu gugat kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi,” kata SKMM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

 

Beberapa pihak sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap The Sarawak Report kerana dipercayai cuba memfitnah dan menjatuhkan reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk memalsukan dokumen yang membawa kepada banyak pendedahan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Bekas editornya, Lester Melanyi pula dalam pengakuan melalui laman blognya, lestermelanyi.blogspot.com mendedahkan beliau menerima bayaran RM2,975 (STG500) seminggu bagi memalsukan pelbagai dokumen sebelum disiarkan di laman portal itu bertujuan menjejaskan reputasi Perdana Menteri termasuk mengaitkannya dengan isu dana 1MDB.

 

Melanyi yang juga bekas Pengarang Berita, Sarawak Tribune mendakwa bayaran itu diterimanya daripada pengasas dan pengendali The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang berpangkalan di London, United Kingdom.

 

Malah, beliau menyifatkan bayaran itu sebagai ganjaran untuknya dalam membantu komplot menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.