Pengguna Dinasihat Tidak Guna WiFi Awam Untuk Perbankan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna internet agar tidak menggunakan kemudahan Wifi di tempat-tempat awam untuk melakukan sebarang urusan transaksi perbankan dalam talian.

 

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Perancangan Jangkauan SKMM, Nurhalili Nadia Mustapha Kamal berkata, pengguna tidak digalakkan menggunakan kemudahan Wifi percuma di tempat awam demi keselamatan kerana akaun bank pengguna boleh mudah digodam.

 

“Lebih selamat gunakan talian internet sendiri kerana kita ada kata laluan dan hanya kita sahaja yang gunakan kemudahan itu. Tidak digalakkan guna Wifi awam kerana penggodam dengan mudah menggodam akaun bank kita,” katanya

 

Beliau juga berkata banyak pengguna laman sosial mempunyai tanggapan salah bahawa ia adalah hak milik peribadi masing-masing dan bebas memuat naik apa sahaja yang diingini.

 

Menurutnya tanggapan itu tidak tetap sama sekali kerana laman sosial bukan diari peribadi memandangkan setiap tulisan yang dimuat naik dapat dilihat oleh rakan laman sosial. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.