MAS Guna Kod Penerbangan Baharu MH19 Bagi Laluan Amsterdam-KL

SEPANG, 20 Julai (Bernama) — Malaysia Airlines akan menggunakan kod penerbangan baharu MH19 bagi perkhidmatan Amsterdam-Kuala Lumpur berkuat kuasa 25 Julai ini, kata syarikat penerbangan itu.

Kod penerbangan MH17 dihentikan bagi menghormati 298 penumpang dan anak kapal dalam pesawat malang itu yang terhempas di Ukraine Khamis lepas, menurut MAS dalam kenyataan media di sini, hari ini.

“Bagaimanapun, tiada perubahan kepada kekerapan penerbangan dan kami akan terus mengendalikan perkhidmatan setiap hari antara Amsterdam dan Kuala Lumpur.

“Doa dan harapan kami sentiasa bersama keluarga rakan-rakan dan penumpang MH17,” kata MAS.

Pesawat MH17 MAS itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada Khamis lepas.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Media asing melaporkan pesawat itu ditembak jatuh tetapi sehingga sekarang, tiada yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Pihak berkuasa Ukkraine percaya pesawat itu ditembak jatuh. Kawasan pesawat itu terhempas terletak di medan pertempuran antara tentera Ukraine yang menentang para pemberontak yang pro Rusia.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.