Guna Saluran Betul Untuk Beri Pandangan, Kritikan Berhubung MH17 – Noh

SHAH ALAM, 20 Julai (Bernama) — Pemimpin parti politik diingatkan supaya menggunakan saluran yang betul dalam memberi pandangan dan kritikan terhadap kerajaan mahupun Malaysia Airlines (MAS) berhubung tragedi pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine, Khamis lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata sebagai pemimpin, mereka perlu menggunakan saluran yang betul agar pandangan mereka tidak disalah tafsir oleh masyarakat.

“Gunakanlah saluran yang betul, contohnya tampil beri pandangan (berhubung isu ini) di Parlimen, di sana ada menteri yang boleh menjawab sekiranya ada perkara yang mereka tidak puas hati,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan skim kawalan harga sempena musim perayaan Aidilfitri di pasar basah Seksyen 16 di sini, Ahad.

Turut hadir, Ketua Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Othman Nawang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang mempertikaikan tindakan pesawat penerbangan itu memasuki ruang udara berisiko tinggi seperti dilaporkan sebuah portal berita pada Sabtu.

“Kita sokong tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak buat sidang tergempar Dewan Rakyat Rabu ini, ini tindakan yang cukup baik bagi menerangkan apa sebenarnya yang berlaku, kita tidak mahu selepas ini ada pihak yang cuba menangguk di air keruh berhubung tragedi ini,” kata Noh.

MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Ukraine yang sedang bergolak. Pesawat itu membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.