176 Nelayan, Pembantu Pelantar Warga Asing Dicekup

HUTAN MELINTANG – Polis berjaya menahan 176 warga asing, termasuk 26 wanita dalam satu serbuan di Pelantar Ikan, Jalan Tepi Sungai, di sini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata,  daripada jumlah itu, seramai 67  pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk 56 lelaki ditahan kerana tinggal melebihi tempoh masa dan tiada dokumen perjalanan sah.

“Segelintir warga asing sanggup terjun dalam sungai untuk meloloskan diri, namun gagal dan terpaksa menyerah selepas gagal berenang kerana arus deras.

“Semua yang ditahan bekerja sebagai nelayan dan pembantu di pelantar ikan,” katanya.

Difahamkan, seramai 34 pegawai dan 118 anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak terlibat dalam serbuan itu.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Hutan Melintang untuk dokumentasi sebelum di bawa ke lokap IPD Hilir Perak untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.

“Majikan yang dikesan menggaji Pati boleh didakwa mengikut Seksyen 55A akta sama kerana membawa masuk Pati secara tidak sah.

“Majikan juga boleh disiasat mengikut Seksyen 55B kerana menggaji Pati, Seksyen 55E kerana membenarkan masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi Pati,” katanya.Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.