KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memilih tidak masuk campur berkenaan keputusan melepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM27 juta, hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu membabitkan urusan institusi kehakiman.
“Itu soal hakim, itu soal Peguam Negara. Saya tidak mahu masuk campur,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sri Aman, Puchong lapor Utusan pada Jumaat.
Pagi tadi, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur DNAA bekas Perdana Menteri itu daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Najib atas alasan kes telah berlanjutan begitu lama dan pihak pendakwaan tidak bersedia untuk memulakan perbicaraan dalam masa terdekat.
Pada prosiding terdahulu, pendakwaan memohon tempoh panjang untuk mengesan dan mendapatkan 807 eksibit yang sebelum ini dikemukakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.