Umno Kelantan mahu tanding dan rampas DUN Nenggiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Umno Kelantan akan menggembleng tenaga dan berusaha sebaik mungkin bagi merampas semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman, berkata pihaknya juga sudah bersiap sedia untuk berdepan PRK.

“Jika berlaku PRK susulan pengumuman kekosongan kerusi DUN Nenggiri semalam, kita memang sudah bersiap sedia untuk berdepan situasi berkenaan.

“Mungkin Umno akan bertanding di kerusi berkenaan dan kita bersedia meletakkan calon yang terbaik bagi mendapatkan semula kerusi berkenaan.

“Apa yang pasti kita akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dan selebihnya terserah kepada rakyat yang menilai,” lapor BH di Kelantan pada Khamis.

Semalam, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada BERSATU.

Susulan itu, Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diadakan pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata, rakyat boleh menilai sebaik mungkin bagaimana hasil kerja UMNO sepanjang memegang kerusi berkenaan berbanding wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod, DUN Nenggiri kali pertama dipertandingkan pada 2004 adalah satu daripada tiga kerusi dalam Parlimen Gua Musang, iaitu kawasan Parlimen yang turut disandang oleh Mohd Azizi.

Dua lagi DUN yang berada di bawah Parlimen itu ialah DUN Paloh dan DUN Galas.

Pada PRN lalu, wakil Perikatan Nasional (PN) termasuk Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS berjaya memecah dominasi UMNO dan Barisan Nasional (BN) apabila menang dua daripada tiga kerusi tersebut iaitu DUN Nenggiri dan DUN Paloh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat