Wan Azizah Nafi Pelantikan Amirudin Sebagai MB Selangor Tidak Dapat Restu PH

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan bahawa pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor tidak direstui pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, nama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu adalah antara yang dicadangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“(Dakwaan) itu pandangan peribadi. Parti memang telah mengemukakan nama dan salah seorang adalah Menteri Besar (Amirudin).

“Beliau (Amirudin) telah pun mengangkat sumpah dan menjadi Menteri Besar, diteruskan dengan (pelantikan) exco kerajaan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Amirudin di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr. Wan Azizah berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad, bahawa dirinya adalah satu-satunya calon yang mendapat sokongan majoriti menerusi surat daripada empat parti komponen PH iaitu PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.