Penumpang Dengar Bunyi Hon Kuat Sebelum Bas Terbalik Di Lebuhraya Karak

“Saya sedang tidur, tapi bunyi hon bas yang kuat menyebabkan saya terjaga, sebelum bas tiba-tiba terbalik,” kata Megat Mohd Hakimi Megat Laiman, seorang daripada mangsa kemalangan bas di KM 33.3 Lebuhraya Karak menghala ke ibu negara petang semalam.

Megat Mohd Hakimi, 13, yang merupakan anak mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut, berkata beliau bersama keluarganya menaiki bas ekspres dari Jengka, Pahang, untuk balik ke rumah mereka di Klang, Selangor.

“Saya bersama ibu, ayah dan adik lelaki berusia 11 tahun menaiki bas dari Jengka pukul 1.30 tengah hari dan jalan memang sesak, tidak sangka bas akan terbalik. Saya juga mengalami sedikit kecederaan di bahagian badan tetapi ia tidak serius,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika ditemu bual Bernama, remaja itu masih belum dimaklumkan mengenai kematian ibunya, Emylia Mohd Zaki, 35.

Kejadian pukul 6.30 petang itu turut menyebabkan 10 penumpang cedera.

Bas ekspres dinaiki 40 penumpang dan seorang pemandu itu dalam perjalanan dari Jerantut, Pahang ke Shah Alam dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bomba Selangor, Alimaddia Bukri berkata baki 30 lagi penumpang dan pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.

Sementara itu, bapa Megat Mohd Hakimi, Megat Laiman, 40 ketika ditemui pemberita di Hospital Selayang, masih dalam keadaan terkejut.

“Saya tak mampu nak bercakap…kaki saya sakit dan berdenyut,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.