Nur Aina Jadi Pemandu Tren LRT Termuda Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Bertugas sebagai pemandu tren Transit Aliran Ringan (LRT) paling muda di Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), tidak menjadi masalah besar kepada Nur Aina Asmida Jamaluddin, 22, sebaliknya peranan itu membantunya berhadapan skop kerja lebih mencabar.

Graduan lulusan jurusan perhotelan di sebuah pusat pengajian tinggi, Nur Aina Asmida tidak menyesal beralih arah ke bidang pengangkutan, sebaliknya mahu menolak tanggapan negatif masyarakat kerjaya itu hanya layak disandang lelaki.

Beliau mengendalikan pemanduan bermula di Depoh Kuala Sungai Baru berdekatan stesen Putra Heights, Subang Jaya hingga ke Sentul Timur, Kuala Lumpur, memerlukannya melakukan sekurang-kurangnya empat laluan perjalanan sehari.

“Saya bertugas lapan hingga sembilan jam setiap hari. Ada masanya saya perlu berada di tempat kerja seawal jam 4 pagi dan pulang selewat-lewatnya jam 1 pagi.

“Kebimbangan dan rasa takut ketika berada di dalam tren sehingga waktu giliran terakhir memang tidak dinafikan, namun atas nama tugas, amanah terus digalas,” katanya.

Nur Aina Asmida berkata, beliau meminati tugas sebagai pemandu tren sejak mula menggunakan pengangkutan awam itu untuk pergi dan balik ketika bekerja di sebuah restoran makanan segera di Ampang.

“Fikiran saya ligat memikirkan bagaimana kenderaan sebesar ini mampu bergerak lancar.

“Ketika itu, hati teruja melihat kelibat seorang wanita berada di koc depan dengan penuh yakin mengendalikan tren.

“Walaupun saya tak tahu langsung mengenai bidang ini, tetapi saya dapat rasa ia bukan satu pekerjaan yang mudah.

“Saya suka sesuatu kerja lasak dan menggunakan tenaga. Jadi saya rasa tidak salah memilih bidang ini sebagai kerjaya.

“Jika menceburi bidang perhotelan mengikut kelulusan akademik saya, ia tidak banyak menggunakan tenaga dan akan cepat bosan,” katanya.

Berkhidmat sejak setahun lalu, anak kelahiran Sekinchan, Selangor ini berkata, pada hari pertama memulakan tugas Nur Aina Asmida akui takut dan panik, walaupun terlebih dahulu sudah mengikuti kursus dan latihan yang disediakan Prasarana.

“Namun ia berjaya diatasi dengan tenang dan meneruskan perjalanan. Tugas agak lasak dan mencabar, tetapi pada asasnya nampak mudah, iaitu dengan hanya duduk di depan atau memantau pedal tangan secara automatik yang berpangkalan dari ibu pejabat.

“Hakikatnya sepanjang tempoh pengendalian, pemandu perlu teliti dan memberi tumpuan sepenuhnya supaya sentiasa bersedia, terutama ketika berhadapan dengan kecemasan.

“Ketika mengendalikan tren, pemandu perlu memastikan penumpang berdiri di belakang garisan kuning sebagai langkah keselamatan. Hon amaran akan dibunyikan andai ada penumpang tidak mematuhi peraturan ketika tren hendak berhenti.

“Pemandu juga bertindak menentukan masa menutup pintu tren. Anggaran masa pintu dibuka di sesebuah stesen selama dua minit, tidak boleh lama bagi melancarkan operasi tren di belakang,” katanya.

Nur Aina Asmida berkata, sepanjang mengendalikan tren, beliau rasa tenang kerana ada kalanya berpeluang menyaksikan pemandangan matahari terbit, terbenam selain dapat melihat suasana berlainan setiap hari, walaupun melalui laluan sama.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, beliau tidak memilih kerja dan sejak di bangku sekolah sudah biasa mencari duit poket sendiri.

Nur Aina Asmida berkata, pada awalnya beliau tidak mendapat restu ibu bapa yang tidak membenarkannya bekerja sebagai pemandu LRT, kerana merasakan ia tugas berisiko tinggi.

Namun, selepas memujuk dan menerangkan mengenai kelebihan serta kemudahan yang disediakan, akhirnya ibu bapanya bersetuju.

“Seluruh keluarga menyokong dan memberi semangat meneruskan kerjaya ini. Jadi, sehingga kini saya masih belum ada perancangan untuk mencari pekerjaan lain.

“Andai saya mendapat peluang atau tawaran yang lebih baik selain memenuhi keupayaan saya, mungkin akan dipertimbangkan,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.