Kedudukan Malaysia Dalam Daya Saing Digital Dunia Jatuh Ke Tempat 27

KUALA LUMPUR – Malaysia jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan ke 27 dari 63 buah negara dalam senarai Daya Saing Digital Dunia 2018 oleh Institut Pemba­ngunan Pengurusan (IMD).

Menurut IMD, majoriti atau sebanyak 29 buah negara dalam kajian tersebut mengalami pe­ningkatan dalam tahap daya saing digital mereka.

Jelasnya, kira-kira 40 peratus atau 26 buah negara mencatatkan penurunan, manakala hanya lapan buah negara kekal di kedudukan yang sama.

“Dalam kedudukan keseluruhan, Singapura jatuh dari kedudukan pertama kepada kedua.

“Sementara itu, Amerika Syarikat mengambil alih kedudukan teratas, diikuti dengan Singapura, Sweden, Denmark dan Switzerland,” jelas laporan kajian tersebut dalam kenyataan sini hari ini.

Jelas IMD, keputusan itu menunjukkan beberapa negara termasuk Malaysia mengalami ‘ketidakseimbangan penyesuai­an’­ atau ketidaksepadanan antara tahap latihan dan pendidikan yang tinggi dengan sikap meng­adaptasi digitalisasi.

Senarai kedudukan berkenaan yang mula diperkenalkan pada Mei 2017, mengkaji perubahan dalam transformasi teknologi sesebuah negara.

Ia memberikan cara kepada pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta untuk mentafsir dan menangani perubahan-perubahan terbabit.

Menurut IMD, objektif kedudukan daya saing digital itu adalah untuk menilai sejauh mana sesebuah negara meneroka teknologi digital yang membawa kepada perubahan dalam kerajaan, perniagaan dan masyarakat.

“Sebagai tambahan, ia juga menyediakan syarikat-syarikat dengan keupayaan untuk mencari peluang yang lebih baik bagi mengukuhkan penciptaan nilai pada masa depan,” jelasnya.

Kedudukan tersebut ditentukan menerusi 50 petunjuk terpilih yang dibahagikan kepada tiga faktor iaitu pengetahuan, teknologi dan ketersediaan masa depan. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.