Bimbang Kenaikan, Persatuan Pekilang Harap Kerajaan Kekalkan Tarif Elektrik

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa di Semenanjung Malaysia untuk tempoh 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

“Kami juga bimbang jika terdapat kenaikan kadar tarif elektrik disebabkan sebarang pelarasan tarif gas asli untuk sektor tenaga,” katanya.

Tarif purata gas asli bagi pengguna sektor bukan tenaga termasuk sektor pembuatan, akan dinaikkan kepada RM32.69 setiap MMBtu (satu juta unit Termal British) mulai 1 Julai 2018 berbanding RM32.52 setiap MMBtu pada masa ini.

“Walaupun FMM teguh dengan komitmennya terhadap rasionalisasi subsidi tenaga dan kenaikan 0.5 peratus itu lebih rendah daripada sebelum ini iaitu 22.97 peratus, namun masih terdapat peningkatan kos tenaga,”menurut FMM dalam kenyataan kelmarin.

Mengambil kira surcaj baru iaitu RM0.77 per MMBtu yang lebih rendah, hanya 48 peratus daripada tempoh surcaj sebelum ini iaitu RM1.62 per MMBtu, selain kos peningkatan serentak yang telah dikenakan terhadap perniagaan, FMM berharap kerajaan baharu dapat mengekalkan kadar tarif elektrik sedia ada bagi mengurangkan beban kos tenaga di sektor pembuatan dan memanfaatkan isi rumah.

Persekutuan itu juga meminta kerajaan menangguhkan rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) menerusi Pelepasan Kos Bahan Api dan Penjanaan (ICPT) sehingga 2020 untuk mengekalkan kadar daya saing perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana, tanpa meningkatkan kos tenaga. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.