Anwar Jangan Biar Azmin Jadi Seperti ‘Anakku Sazali’

KUALA LUMPUR – Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar berhati-hati dengan kelicikan politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut penulis politik, Mohd Sayuti Omar sekiranya Anwar terus membiarkan Azmin berkuasa beliau pasti akan menyesal di kemudian hari.

“Mengulas pelantikan MB Selangor yang baharu, nak ingatkan kepada Anwar Ibrahim dan orang-orang PKR khas mereka kena berwaspada dengan kelicikan politik Azmin Ali.

“Anwar tidak perlu membiarkan Azmin terlalu berkuasa dan dimanjakan. Jangan jadikan Azmin seperti Anakku Sazali, nanti menyesal kemudian hari.

“Apa lagi “Sazali” kini sudah ada god father. Peringatan ini jangan dipandang enteng kalau tak mahu menangis dikemudian hari,” ujarnya di laman Twitter semalam ketika mengulas mengenai perlantikan Adun PKR Sungai Tua, Amirudin Shari sebagai MB Selangor yang baru.

Sayuti turut menyifatkan pemilihan Amirudin itu sebagai tanda kekalahan Anwar terhadap Azmin.

“Anwar sebagai ketua umum boleh menerima siapa sahaja jadi MB asalkan daripada partinya. Itu hakikatnya tetapi untuk menunjukkan Anwar dihormati dan ada kuasa, maka tentu beliau mahukan orang yang ditunjuki oleh presiden, yakni isterinya Dr Wan Azizah jadi MB.

“Tampaknya itu tidak berlaku, dalam pertarungan merebut jawatan MB ini, Anwar sekali lagi kalah dan Azmin muncul sebagai pemenang. Hakimnya sekali lagi berada di tangan Sultan,” ujarnya pula.

Isu mengenai pemilihan MB Selangor sebelum ini kembali hangat diperkatakan apabila Azmin mengambil keputusan untuk meletakan jawatan setelah dipilih sebagai menteri di peringkat persekutuan.

Atas sebab itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan agar Adun Ijok Dr Idris Ahmad dipilih bagi mengantikan Azmin.

Namun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Azmin atas alasan Idris bukan dari ‘kemnya’.

Malah beberapa hari sebelum perlantikan MB dibuat, Idris turut dikatakan terbabit dengan kes penyelewengan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membabitkan Kolej Vision Kelana Jaya (Kolej Vision).

Beliau bagaimanapun menafikan mengenai penularan cerita itu sambil menyifatkan ia merupakan agenda jahat bagi menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat serta doktor pakar sakit puan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.