Shahrir Sambut Baik Pelantikan Sulaiman Mahbob

SEGAMAT – Pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berkuat kuasa serta-merta diharap dapat menambah baik tadbir urus korporat syarikat konglomerat itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abd Samad yang menyambut baik pelantikan tersebut berkata, Sulaiman bukan pemain baharu dalam industri itu kerana pernah memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah Felda, selain mempunyai pengalaman dan pemahaman luas mengenai Felda.

“Pertukaran antara Sulaiman dan Tan Sri Isa Samad akan dapat memberi kesinambungan peranan Felda, selain memastikan suara dan semangat Felda itu didengari,” katanya selepas menghadiri majlis Ihya Rahmat Ramadan di Masjid Felda Tenang pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Isa dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat berkuat kuasa serta-merta.

Shahrir berkata, dengan perubahan kepimpinan peringkat atasan itu, diharapkan FGV dapat membuat penambaikan kepada perkara penting kerana perubahan mesti bermula dari peringkat atasan sebelum dilaksanakan bahagian lain.

“Saya menyambut baik dan menganggap ini sebagai satu perkembangan yang positif, dan saya berharap Felda akan dapat menyertai FGV sebagai satu daripada anggota Lembaga Pengarah,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana Felda juga mahu melihat wakil mereka berada di kedudukan penting dalam FGV.

“Dari segi amalan terbaik tadbir urus korporat, Felda memang layak untuk meletakkan 3 orang sebagai anggota lembaga pengarah dalam FGV, tetapi keputusan tersebut kita serahkan kepada ahli lembaga.

“Pemegang Saham Khas seharusnya ada 3 wakil dalam lembaga pengarah, yang terdiri daripada pengerusi, pengarah dan ketua pegawai eksekutif.

“Pengerusi (FGV) sekarang ialah Tan Sri Dr Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif FGV pula masih dipegang Datuk Zakaria Arshad yang kini sedang menjalani siasatan, dan jawatan pengarah tidak ada perubahan,” katanya.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan lembaga pengarahnya mengarahkan 3 pegawai atasan, termasuk Zakaria bercuti bermula 6 Jun lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat senaraian awam itu.

Kerajaan juga seterusnya melantik bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas bagi menangani kemelut tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.