Perbadanan Stadium Harap Stadium Nasional Bukit Jalil Jadi Gelanggang Tuan Rumah Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berharap Stadium Nasional di Bukit Jalil, akan digunakan sebagai gelanggang tuan rumah skuad Harimau Malaya untuk perlawanan akan datang apabila kerja-kerja menaik taraf venue itu siap, Julai ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman.

Beliau berkata, stadium dibina pada 1998 itu dinaik taraf dengan bertemakan Harimau Malaya bagi memberi kelebihan selaku tuan rumah kepada skuad negara dan menaikkan semangat penyokong.

“Kami sangat teruja untuk melihat pasukan kebangsaan beraksi di stadium berwajah baharu ini. Tempat duduk berwarna hitam dan kuning, sama dengan jersi pasukan kebangsaan, berbanding dengan warna bendera kebangsaan sebelum ini.

“Kita juga menaik taraf bilik persalinan dan lounge VIP. Stadium berkenaan kini sama taraf seperti Stadium Wembley di London,” katanya semasa taklimat media dan lawatan projek di sini hari ini, lapor Bernama.

Kali terakhir perlawanan bola sepak diadakan di stadium yang boleh memuatkan 87,411 penonton itu adalah ketika Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada Julai 2015, sebelum stadium berkenaan ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.