Bapa Didenda RM4,000 Rotan Anak Hingga Cedera Fizikal

KUALA LUMPUR – Seorang bapa didenda RM4,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak remaja lelakinya menggunakan rotan, bulan lalu.

Kong Kwek Liang (gambar), 40, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas Sky Kong Zheng Wei, 13, telah menganiaya dan menyebabkan remaja tersebut mengalami kecederaan fizikal di ruang tamu rumah sewanya di Jalan Bunga Cempaka 2, Taman Muda, di sini antara pukul 10 pagi dan pukul 12 tengah hari, 14 Mei lalu.

Pemandu di sebuah syarikat percetakan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika ditanya oleh Hakim Azrul Darus mengapa dia memukul anak sulungnya, memberitahu remaja itu tidak mendengar kata dan sering mencuri duitnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.