Anak Perempuan TPM Sah Bergelar Isteri Di Makkah

MAKKAH – Anak perempuan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah, sah bergelar isteri kepada pasangannya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff, dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Masjid al-Haram (Masjidil Haram) jam 10 pagi waktu tempatan, hari ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu kelihatan anggun memakai jubah putih rekaan pereka tempatan Sara Jamaludin, manakala suaminya, berpakaian sedondong dengan memakai Baju Melayu tradisional berwarna putih.

Dengan hanya sekali lafaz, Saiful sah bergelar suami kepada Nurulhidayah yang diwalikan oleh bapanya pada majlis akad nikah itu.

Majlis akad nikah turut disaksikan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Pasangan pengantin tersenyum lebar selepas mereka disahkan sebagai suami isteri.

Saiful memberikan Nurulhidayah sebentuk cincin dan mas kahwin bernilai 3,800 Saudi Riyal (RM4,340), manakala pengantin perempuan membalas hantaran dengan memberikan seutas jam tangan.

Hadir sama kira-kira 20 hingga 30 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pengantin serta beberapa tetamu kenamaan.

Beberapa keping foto menunjukkan para tetamu berkumpul di kawasan masjid di Makkah, selain individu ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, juga kelihatan di majlis berkenaan.

Saiful, 47, pertama kali bertemu dengan Nurulhidayah pada awal Februari tahun ini atas urusan kerja, di mana mereka terlibat dalam urusan perniagaan, selepas kematian suami Nurulhidayah, 38, Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, Jun tahun lalu.

Ahli perniagaan itu meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan Nurulhidayah empat bulan lalu selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa Nurulhidayah.

“Saya bersyukur perkahwinan ini diberkati oleh ibu bapa saya dan saya gembira bertemu cinta sekali lagi.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sejak kami bertemu satu sama lain. Ia terlalu baik untuk menjadi realiti,” kata Nurulhidayah secara eksklusif kepada Malaysian Digest.

Nurulhidayah yang memilih Saiful sebagai teman hidupnya berkata, kedua-dua mereka secara khusus memilih tanah suci kerana percaya ia merupakan sebuah tempat yang istimewa sebagai menandakan detik penting mereka.

“Kami amat bersyukur kerana berkahwin di Makkah, memandangkan ia menjadi tempat impian buat Saiful dan saya untuk melangsungkan perkahwinan.

“Kami memilih tarikh ini kerana ia adalah salah satu daripada 10 terakhir Ramadan (Ramadan ke-25), dan bukan sahaja ia jatuh pada bulan suci, tetapi ia adalah masa yang paling diberkati dalam kalendar Islam,” katanya.

Mengimbas kembali ketika beliau memberitahu ibu bapanya mengenai niat untuk berkahwin semula, Nurulhidayah berkongsi kelegaannya apabila ibunya, Datin Seri Hamidah Khamis, yang disifatkan beliau sebagai seorang yang tegas begitu gembira memberikan persetujuan.

“Ibu saya bercakap dari hati ke hati dengan Saiful selama sejam sebelum memberi ‘lampu hijau’ kepada saya.

“Tiada apa yang lebih mengembirakan saya apabila beliau menjadi bapa kepada anak-anak saya, dan saya tahu beliau akan menjadi seorang bapa yang baik untuk mereka.

“Apa yang paling menarik perhatian saya adalah ketaatannya terhadap Penciptanya. Melihat beliau sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab kepada Penciptanya, membuat saya percaya bahawa beliau adalah lelaki yang boleh memikul tanggungjawab membimbing saya menjadi orang yang lebih baik dalam kehidupan ini dan di akhirat,” katanya.

Menjelang majlis perkahwinan tersebut, Nurulhidayah telah menyiarkan imej teaser pada akaun Instagramnya, yang mana beliau menggelarkan sebagai ‘imam’ – membuatkan ramai pengikut laman sosialnya tertanya-tanya siapa lelaki bertuah yang menjadi pilihan hatinya.

Namun selepas majlis ijab kabul mereka selesai, segala tanda tanya itu telah terjawab.

Ditanya apa yang paling menarik perhatian beliau tentang isterinya, Saiful menjawab: “Saya suka gelak tawanya, cara kita berkomunikasi; Saya suka di mana kami boleh terbuka dan jujur antara satu sama lain, kerana dalam hubungan, adalah paling penting untuk kita percaya antara satu sama lain.”

“Pada mulanya, apabila saya mengajaknya berkahwin, beliau enggan dan memberitahu jika saya serius, saya perlu bertemu dengan ibu bapanya dulu, dan saya buat. Sekarang, saya bersyukur kerana mendapat restu mereka dan saya gembira kerana kami akhirnya bersatu.”

Pasangan pengantin baharu ini dijangka pulang dari Makkah pada Jumaat ini (23 Jun) dan akan mengadakan majlis perkahwinan tertutup dalam masa dua bulan lagi di lokasi yang akan disahkan nanti. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.