10 Bas Percuma Buat Anak Kedah Pulang Ke Kampung Beraya

KERAJAAN negeri Kedah menyediakan 10 bas percuma bagi membawa anak Kedah yang belajar di universiti tempatan pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri pada minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, 10 bas disediakan dengan kapasiti 40 penumpang setiap satunya akan mula bergerak ke Kedah mulai Khamis ini.

Katanya, ini adalah tahun kedua kerajaan negeri menyediakan bas secara percuma kepada penuntut universiti selepas pelaksanaan tahun lalu mendapat sambutan sangat baik.

“Tahun ini kita menerima permintaan daripada penuntut agar kerajaan terus menyediakan bas dan kita mendengar permintaan itu dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meluluskan 10 bas ini,” katanya hari ini.

Tajul Urus berkata, dengan kemudahan itu, penuntut dapat menjimatkan perbelanjaan pengangkutan dan pulang bersama dengan rakan sekampus.

“Ada universiti mendapat sebuah bas dan ada mendapat dua bas berdasarkan bilangan penuntut yang memerlukan pengangkutan berkenaan.

“Semasa saya menyambut ketibaan mereka di Sungai Petani tahun lalu, mereka sangat gembira, sementara ibu bapa juga menyambut baik dan rasa lebih selamat dengan adanya bas yang disediakan kerajaan negeri itu,” katanya.

Pada majlis berkenaan Tajul Urus yang mewakili Menteri Besar turut menyampaikan geran tahunan kepada 18 persatuan pelajar anak Kedah di universiti tempatan berjumlah RM54,000.

Setiap persatuan pelajar menerima RM3,000 untuk kegunaan aktiviti persatuan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.