Tidak Timbul Isu Rumah Mangsa 
Banjir Lambat Siap – JKR

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya komited untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dengan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk kediaman.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian hari ini, tidak timbul isu projek pembinaan kediaman untuk mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut lambat disiapkan seperti yang didakwa dalam laporan sebuah akhbar propembangkang bertajuk ‘Projek rumah kediaman pusat lewat siap’, semalam.

 

“Pelbagai aspek perlu diteliti untuk membangunkan sebuah kawasan perumahan baharu termasuk jarak dari jalan utama, keadaan tanah dan keadaan berbukit serta berhutan.

 

“Semua aspek tersebut perlu diteliti sebaik mungkin bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi untuk membina kawasan perumahan,” jelas kenyataan tersebut.

 

Kenyataan itu turut menyebut, bagi memastikan pembangunan perumahan kekal mangsa banjir secara berkelompok di kawasan tinggi dan berbukit adalah selamat untuk diduduki, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menyediakan kemudahan asas yang minimum seperti saliran untuk aliran air hujan, selain sebagai perlindungan kepada cerun yang sudah diratakan.

 

Selain itu, tanah yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan adalah tapak yang sukar, menyebabkan JKR perlu mengambil masa untuk menyediakan tapak rumah kekal sedangkan kerajaan negeri menyediakan tapak di kawasan jalan utama.

 

“Justeru, adalah tidak adil laporan tersebut mendakwa kerja-kerja pembinaan rumah mangsa banjir lambat disiapkan sedangkan kementerian komited untuk membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

 

“Adalah lebih baik kerajaan negeri memberikan kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi rakyat,” menurut kenyataan tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.