Kru Kapal Orkim Harmony Tetap Bersemangat Tinggi

KUANTAN – Kesemua 21 anak kapal MT Orkim Harmony yang dirampas oleh sekumpulan lanun selamat kembali ke pelabuhan dalam keadaan baik dan kemudiannya menjalani pemeriksaan kesihatan.

 

Salah seorang anak kapal, tukang masak warga Indonesia tercedera di bahagian punggung akibat terkena tembakan, diterbangkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

 

Selain itu, kesemua anak kapal dikehendaki untuk merakamkan keterangan sebelum dibenarkan kembali ke pangkaun ahli keluarga mereka.

 

Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid berkata, disebabkan masalah terhadap enjin, kapal minyak tersebut lewat tiba dari jangkaan awal iaitu pada jam 2.30 pagi.

 

Azhari berkata kapal tersebut akhirnya berlabuh di Pelabuhan Kuantan kira-kira jam 7.30 pagi.

 

“Kesemua anak kapal bersemangat tinggi dan tidak sabar untuk berjumpa dengan ahli keluarga.

 

“Secara keseluruhan, operasi bersepadu yang dijalankan mencapai kejayaan.

 

“Kesemua anak kapal dalam keadaan selamat dan lapan lanun yang merampas kapal itu telah ditahan oleh penguatkuasa Vietnam,” jelasnya dalam satu sidang media.

 

Dua lanun dikenalpasti sebagai suspek yang melepaskan tembakan terhadap tukang masak kapal.

 

Menurut Azhari, siasatan sedang giat dijalankan oleh penguatkuasa maritim.

 

Tambahnya, operasi tentera laut berakhir selepas kesemua lanun berjaya ditangkap.

 

“Keutamaan kami adalah untuk mengiringi MT Orkim Harmony ke pelabuhan dan memastikan keselamatan anak kapal terjamin.

 

“Kesemua perampas merupakan sebahagian daripada sindiket dan kami serahkan kepada pihak tertentu untuk menjalankan siasatan lanjut.

 

“Amat jelas sekali bahawa kapal kargo yang cuba dirampas itu sangat besar dan sukar untuk mencari pembeli dalam tempoh masa singkat,” katanya.

 

MT Orkim Harmony, yang sarat dengan 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam pada 11 Jun semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan dari Melaka.

 

Kapal tersebut yang dimiliki oleh Magna Meridien Sdn Bhd, membawa 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

 

Kargo itu adalah milik Petronas.

 

Dalam pada itu, kapal tersebut dicat semula dan ditukarkan nama kepada ‘Kim Harmon’ selepas berjaya ditawan oleh sekumpulan lanun. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.