Keluarga Mangsa Banjir Akan Dipindahkan Segera – Mustapa

JELI – Semua 43 keluarga mangsa banjir yang tinggal dalam khemah di penempatan sementara Bandar Utama Gua Musang, akan dipindahkan segera ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pemindahan secara berperingkat itu sedang dilakukan dan dijangka mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kem PLKN itu.

 

Mereka akan tinggal di kem berkenaan hingga rumah kekal yang sedang dibina kerajaan siap tidak lama lagi, katanya selepas majlis berbuka puasa Parlimen Jeli di sini, malam tadi.

 

Mereka ditempatkan sementara di khemah yang disediakan kerajaan sejak bencana banjir memusnahkan rumah mereka Disember lalu.

 

Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menguruskan pemindahan mangsa banjir itu ke kem PLKN berkenaan.

 

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan beberapa kemudahan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di kem PLKN itu termasuk bas untuk membawa anak-anak mereka ke sekolah. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.