DAP Mulakan ‘Game’, Matikan Pakatan, Kata Pemuda PAS

Ketika DAP menganggap PAS yang menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) terkubur, Dewan Pemuda parti Islam itu berkata, apa yang terjadi sebenarnya satu “game” (permainan) yang dimulakan dan diakhiri oleh parti demokratik itu.

 

Naib Ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, DAP mengambil kesempatan dalam beberapa isu yang melibatkan hubungan antara parti dalam PR serta berterusan menyerang peribadi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

“Dalam sandiwara ini, DAP dilihat terlalu ofensif, gopoh dan terburu-buru menyerang PAS. Mereka sendiri yang memulakan ‘game’ ini dan mereka sendiri yang akhirnya mematikan PR.

 

“Kami dari Dewan Pemuda PAS sekali lagi menekankan yang kami bersama presiden dan kepimpinannya untuk bersama komited dalam bertahaluf dengan PR selagi mana ia selari dengan ketetapan syarak yang digariskan Majlis Syura Ulama,” katanya.

 

Beliau merujuk kepada laporan berita RoketKini bertarikh 16 Jun mengatakan, mesyuarat Jawatankuasa Pusat DAP membuat keputusan PR sudah tidak lagi wujud, atau mati.

 

“PAS beberapa kali mengulangi ketetapan kami tidak akan bekerjasama dengan Umno, apatah lagi membentuk Kerajaan Perpaduan dengan parti tersebut,” katanya di dalam akaun Facebook miliknya pagi ini.

 

Mengulas isu yang dibangkitkan DAP, yang didakwa mereka menjadi punca hubungan antara PAS dan parti itu akhirnya terputus, Khairil berkata, banyak daripadanya dijawab dengan jelas dan baik oleh PAS.

 

Ini termasuk kes mengenai pertukaran menteri besar Selangor serta pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan yang menguatkuasakan undang-undang hudud.

 

“Namun, sehingga semalam, DAP masih terus memfitnah PAS dan presiden secara khususnya.

 

“Parti tersebut juga mengambil keputusan drastik sebelum ini dengan membatalkan kerjasama politik di Sarawak, Sabah dan terakhir memutuskan hubungan dengan presiden PAS pada 24 Mac 2015.

 

“Kemudian, DAP secara konsisten menyerang hampir setiap hari dan mencampuri urusan dalaman pemilihan PAS menjelang muktamar yang lalu,” katanya.

 

Khairil berkata, pengumuman dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa parti itu mengatakan PR kini tidak lagi wujud, bertentangan dengan kenyataan menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang tetap rasional mempertimbangkan situasi yang berlaku.

 

“Beliau masih optimis dengan kerjasama PR di Selangor dan menolak pilihan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.