Chong Wei Mara Separuh Akhir Badminton Terbuka AS

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berada di landasan untuk merangkul gelaran kejohanan terbuka pertama selepas selesai menjalani hukuman penggantungan lapan bulan kerana kesalahan doping.

 

Bekas pemain nombor satu dunia itu membuktikan dia masih belum hilang sentuhan dengan menundukkan Rajiv Ouseph dari England pada perlawanan suku akhir Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Kolej Komuniti Suffolk County, Brentwood, Amerika Syarikat.

 

Pemain berusia 33 tahun itu mengambil masa 32 minit untuk mengalahkan pemain nombor 20 dunia itu dengan keputusan 21-9 dan 21-14.

 

Dia akan bertemu B Sai Praneeth dari India yang menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long Angus 21-8 dan 21-14 pada separuh akhir nanti.

 

Pemain pilihan utama dan nombor tujuh dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan yang memburu gelaran pertamanya pada musim ini, menundukkan Takuma Ueda dari Jepun 21-11 dan 21-19 untuk bertemu pemain Denmark, Hans-Kristian Vittinghus pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

 

Vittinghus menewaskan Kenta Nishimoto dari Jepun 21-10 dan 21-16. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.