Tayar Bocor Terkena Paku Punca Bas RapidKuantan Terbabas

KUANTAN: Siasatan awal terhadap insiden kemalangan yang membabitkan bas RapidKuantan di Kilometer 13, Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Taman Indera Sempurna petang semalam didapati akibat satu daripada tayar bas itu bocor terkena paku.

Menurut Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan Zainurul Hakim Mohamad, kejadian itu mengakibatkan bas yang ketika itu dalam perjalanan dari Bandar Pekan ke Hentian Bandar di Kuantan hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang jalan.

“Berdasarkan paparan secara langsung yang dipancarkan ke Pusat Kawalan Bas yang beroperasi dari Depoh RapidKuantan di Semambu melalui peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan GPS di dalam bas tersebut, pemandu bas Mohd Hazim Lahei tidak memandu laju.

“Malah berdasarkan makluman yang diperoleh daripada polis, pemandu juga tidak berada dalam keadaan mengantuk ataupun dipengaruhi sebarang elemen rangsangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

 Sehubungan itu, katanya, segala spekulasi yang tersebar di media sosial yang mengaitkan pemandu berkenaan sebagai punca kemalangan tersebut adalah tidak benar.


Polis kini menjalankan siasatan penuh dan RapidKuantan akan memberikan kerjasama penuh untuk membantu siasatan itu.

Menurut kenyataan itu, MohdHazim yang merupakan pemandu berpengalamanserta mempunyai rekod prestasi kerja yang baik juga telah memberikan kerjasama kepada polis sejak semalam.

Dalam kemalangan 3.40 petang semalam, seorang daripada tiga penumpang bas RapidKuantan patah kaki kiri setelah bas yang dinaiki terbabas lalu tertusuk besi penghadang jalan.

Pelajar tingkatan satu berkenaan Mohd Rasydan Hakimi, 13, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
RapidKuantan akan membantu beliau sepanjang mendapatkan rawatan di hospital itu atas dasar kemanusiaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.