Seminar Anti-Kristian Hanya Perbincangan Intelektual

Kuala Lumpur – Kerajaan menyifatkan seminar anti-Kristian di universiti awam yang didakwa untuk menyerang Kristian sebagai satu ‘perbincangan akademik’, lapor Malaysian Insider.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seminar itu merupakan program akademik yang dianjurkan bagi memberi penerangan mengenai isu penggunaan kalimah Allah.

“Seminar itu hanya satu perbincangan akademik di mana ia dibincangkan secara harmoni yang selari dengan budaya institusi pengajian tinggi.

“Ia sepatutnya dilihat dari sudut positif,” katanya dalam satu jawapan bertulis kepada ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking pada Rabu lalu.

Menurutnya, pada permulaan sesi, peserta diberi peringatan bahawa seminar itu tidak bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana agama atau menyerang mana-mana agama mahupun kaum.

“Ia hanya usaha untuk mempertahankan identiti orang Islam dan memahami cabaran yang dihadapi mereka, terutama golongan yang keliru berikutan isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, adalah perlu untuk menjelaskan isu itu bagi membolehkan peserta memahaminya dengan baik, bahkan boleh membina hubungan baik antara kaum.

Pembentang di seminar ini termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Abdul Karim Omar di samping penceramah dari Indonesia, Masyud SM, Irena Handono, Menachem Ali dan Insan LS Mokoginta.

Walaupun Insan mendakwa beliau ialah paderi Kristian sebelum memeluk Islam pada 1976, Setiausaha Eksekutif Bishops Conference of Indonesia, Father Edy Purwanto berkata, pihaknya tidak mempunyai data tentang Insan.

Insan bercakap tentang “Ancaman Kristianisasi” di seminar itu yang antara lain berkata, “semua pengikut Nabi Isa perlu memeluk Islam, jika tidak mereka akan mengkhianati diri sendiri”.

Semakan ke atas Handono, yang mendakwa dia adalah bekas paderi Katolik, menunjukkan dia tidak melengkapkan pengajiannya, di mana Purwanto berkata dia hanya baru berjinak-jinak dengan pengajian agama itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.